Saturday 25 May 2013

DENDAM


Cerpen pertama saya kirimkan untuk pertandingan menulis cerpen dan mendapat tempat pertama pada tahun 1988. Termuat dalam antologi Surat Dari Perbatasan terbitan Utusan Publications & Distributors S/B.



DENDAM


Lima ekor itik nila Mek Ni berebut-rebut menyedut sisa-sisa makanan di longkang yang kotor di belakang rumah Mat Di. Tiga ekor jantan, dua ekor betina. Beberapa ekor lalat hijau juga kelihatan bertenggek di atas sisa-sisa makanan yang dibuang di kepala longkang.
       Longkang di belakang rumah Mat Di yang tidak pernah dibersihkan itu, menjadi tempat mencari makanan yang baik oleh itik-itik nila Mek Ni. Sisa makanan dari rumah Mat Di yang berlambak terkumpul di kepala longkang dapur rumahnya, menarik minat itik-itik nila untuk terus ke situ.
       Mat Di menumpukan perhatian kepada itik-itik nila itu. Besar-besar belaka. Seketul batu sebesar lengan digenggamnya erat-erat. Anak matanya merenung tepat pada itik-itik nila Mek Ni itu.
       Buk! Batu itu mengenai seekor itik nila betina Mek Ni. Itik-itik itu bercempera lari sambil mengeluarkan bunyi yang bising Tidak lama kemudian, itik-itik itu datang kembali.
       Mat Di tak puas hati. Dia mengambil seketul batu lagi. Kali ini lebih besar. Dia merenung tajam ke arah itik-itik nila itu. Renungannya bagai renungan harimau mengendap mangsanya.
       Tanpa ada secebis pun kasihan, Mat Di membaling sekuat hati batu yang di dalam genggamannya kearah itik-itik nila Mek Ni. Seekor lagi itik nila Mek Ni menerima habuan dari kemarahan Mat Di itu. Sekali lagi riuh suara-suara itik nila itu sambil berlalu pergi.
       Kali ini itik-itik nila itu singgah pula di bawah rumah Mat Di. Api kemarahan Mat Di bertambah semarak.
       Mat Di masuk ke dalam rumah, mengambil parang lading dari atas para yang tersorok di sudut bilik. Tapi malang, bila Mat Di muncul kembali ke muka pintu, itik-itik nila itu sudah hilang. Hanya tompok-tompok tahi bertaburan yang ditinggalkan.
       Mat Di menyumpah seranah. Memaki hamun seperti orang tidak siuman layaknya. Dia geram betul.
       Dari jauh Mat Di dengar suara lembut Mek Ni ( tapi kasar dan sumbang pada pendengaran Mat Di ) memanggil itik-itik nilanya itu. Jika tiada undang-undang di dalam negara ini, sekarang juga mahu Mat Di bunuh Mek Ni dan itik-itik nilanya itu. Kemudian Mat Di akan bakar rumah Mek Ni. Biar tidak ada bekas langsung. Baru puas hatinya.
       “ Betina keparat. Sial,” termuntah maki hamun dari mulut Mat Di.
       Mat Di masih belum puas hati. Biarpun memaki hamun orang itu berdosa. Dia akan tanggung. Asalkan hatinya puas. Betul-betul puas.
       Mek Ni sedar ada orang membencinya dan itik-itik nilanya. Tapi Mek Ni tidak peduli. Mek Ni pekakkan telinga. Tebalkan muka. Mek Ni juga tahu insan bernama Mat Di selalu membaling itik-itik nilanya dengan batu. Malah Mek Ni tahu kenapa Mat Di benci padanya, pada itik-itik nilanya. Semuanya tersimpan kemas di lipatan hati Mek Ni. Dari A hingga Z.
       Malam itu, Mat Di tidak lena tidur. Dendam dan marahnya semakin membuak-buak. Di dada. Di hati. Baginya, itik dan tuannya sama sahaja. Ada otak tak tahu berfikir. Hanya tahu menyusahkan orang lain. Tidak cukup dengan datang makan, berak pula di merata-rata tempat. Sudah tu, jahanamkan anak-anak pisang yang baru mengeluarkan pucuk. Celaka!
       Tuannya juga sama. Pandai memelihara tapi tak reti beri makan. Biarkan itik-itik kelaparan. Tak berhati perut langsung. Api marah Mat Di belum padam. Malah semakin membakar.
        Mat Di gelisah. Hembusan angin dari tingkap bilik yang terbuka, tidak dapat menyejukkan hatinya. Matanya masih galak dan susah untuk dipejamkan. Bayangan Mek Ni dan itik-itik nilanya, bertukar ganti di ekor matanya. Tubuh Mat Di basah oleh peluh. Peluh dingin.
       “ Eh! Belum tidur lagi bang, kenapa ni? ”
       “ Fikiran abang kusut Tih. ”
       “ Apasal pulak?”
       “ Entahlah. Macam-macam Tih. ”

       “ Dahlah tu bang. Tak usahlah abang terikut-ikutkan perasaan abang tu. Dah pukul dua pagi ni. Esokkan kerja? ”
       Api amarah Mat Di mula surut disimbah pujukan isterinya, Cu Tih. Dia memeluk erat isterinya itu, yang kini sedang mengandungkan anak sulungnya setelah perkahwinan mereka berusia dua tahun.
       Esoknya pagi-pagi lagi, itik-itik nila Mek Ni sudah  `berkubang` di kepala longkang. Riang mengepak-ngepak sayap sambil membuat bising.
       Setelah puas di situ, mereka bertenggek pula di bawah rumah Mat Di. Mengepak-ngepak sayap lagi bagi mengeringkan air di badan. Kemudian berehat setelah kekenyangan.
       Mujur Mat Di tiada di rumah kerana dia ke tempat kerja sejak 6.30 pagi tadi. Dia bekerja sebagai buruh Majlis Daerah.
       Cu Tih mengerling pada itik-itik nila Mek Ni itu. Gebu-gebu belaka. Cu Tih menelan air liur dua tiga kali.
       Bila itik-itik nila Mek Ni berlalu ke kebun pisang Mat Di, Cu Tih juga ikut menghantar dengan ekor matanya.
       Cu Tih Nampak pucuk-pucuk pisang diragut sehelai-sehelai. Tapi Cu Tih biarkan. Dia tidak menghalaunya. Cu Tih biarkan itik-itik nila itu mengisi perut mereka. Cu Tih tahu, itik nila sukakan pucuk pisang muda. Dan kini pucuk pisang suaminya sudah menjadi habuan itik-itik nila itu.
       Pulang kerja, Mat Di terkejut besar. Lebih terkejut dari mendengar bunyi guruh dan petir. Hampir separuh anak-anak pisangnya jahanam. Angkara itik-itik nila Mek Ni itu.
       Tompok-tompok najis bertaburan di pinggir rumah. Mat Di tak senang duduk. Digenggam erat jarinya seerat pendaki gunung memaut tebing licin. Mat Di teringat pada Mek Ni, tuan itik nila yang tidak berhati perut itu.
       “ Mek, kau sayang aku tak? ” tegur Mat Di sewaktu berselisihan dengan Mek Ni yang baru pulang dari Kulim, menziarahi Mak Su Saodah yang sakit tenat. Sudah dua bulan dia terlantar di Hospital Kulim.  Kata doktor,  sakit buah pinggang.
       “ Perasan…”
       “ Tapi Mek, aku benar-benar cintakan kau. ”
       “ Kan banyak lagi perempuan lain dalam kampung ni. Ha, Nab anak Long Basiah, Milah anak Ngah Supiah, Anna anak Ndak Hussien, Dah, Za, Sara, Lina, Cu Tih. Semuanya cantik. Pilihlah satu yang kau mahu. Bukannya aku. ”
“ Mek, sampai hati kau kata macam tu…”
“ Habis kau nak aku sembah kau? ”
“ Tak, cukup kalau kau terima aku jadi suamimu.”
“ Apa! Suami. Kau dah gila Mat Di?”
“ Tidak, aku tak gila. Aku masih siuman Mek Ni.”
“ Jadi kenapa kau mahu aku jadi isteri kau. Kau tak dengar apa aku kata tadi? Cari perempuan lain.”
“ Mek, kesianlah pada aku Mek. ”
“ Kan kau masih ada mak bapa. Mereka yang patut kasihankan kau. Kau anak mereka. Bukan aku Mat Di. ”
“ Kesian mereka pada aku sebagai anak. Aku mahu kesian dari seorang kekasih seperti kau Mek Ni. ”
“ Aku kekasih kau? ”
“ Benar Mek Ni. ”       
  Kalau begitu… ”
“ Kalau begitu, kita kahwin Mek Ni. ”
“ Kalau begitu, benar kau gila Mat Di. ”
“ Mek!!!”
Mek Ni melangkah pergi dan meninggalkan Mat Di terpinga-pinga sendiri.
“ Eh, ada apa bang? ”
“ Er…abang mengigau tadi. ”
“ Itulah abang. Selalu sangat melayan fikiran abang yang kusut tu. Ha, sudahlah. Abang belum mandi lagi. Pergilah mandi dulu. Tih nak hidangkan nasi. ”
Mat Di melangkah lemah ke arah perigi yang digali oleh arwah ayahnya, Pak Majid.
“ Abang, Tih idamkan daging itik nilalah bang.” kata Cu Tih ketika menghadap makanan hari itu.
“ Kan banyak lagi itik lain, makanan lain?
“ Tapi, Tih idam sangat daging itik nila tu bang. ”
“ Baiklah. Esok abang belikan di rumah kawan abang kat Air Putih.”
“ Tapi itukan jauh. Kenapa harus pergi jauh-jauh? Lagipun, kan itik nila Mek Ni tu ada?  Haa, belilah seekor. ”
“ Tih, itik nila janda keparat tu kau jangan sebut Tih.”
“ Kenapa? ”
“ Tih mahu tak mahu? ”
“ Mahu… ”
“ Habis, salah kalau abang belikan di rumah Padin tu? Setidak-tidaknya dapat juga abang tambahkan ekonomi keluarganya. ”
“ Baiklah bang. ”
Esoknya, seperti biasa, Mat Di ke tempat kerja. Dibekalkan nasi dan air kopi pekat oleh Cu Tih.
Di rumah, Cu Tih jumpa dompet Mat Di di lantai serambi. Mat Di tidak sedar dompetnya jatuh. Dompet yang sudah pudar warnanya itu.
“ Bagaimana suamiku mahu membeli itik nila itu nanti? ” fikir Cu Tih.
Keinginan untuk menjamah daging itik nila itu semakin menjolok nafsu Cu Tih. Dia menelan air liur. Dia tidak sabar lagi.
Pagi itu, buat pertama kalinya, Cu Tih bertandang ke rumah Mek Ni, jirannya yang juga musuh suaminya.
“ Mek, ooo… Mek! ”
Diam. Sepi seketika.
“ Mek! Mek! ”
“ Ya, Mek di sini. Siapa tu? ”
“ Cu Tih Mek. ”  diam. “ Mek, jualkan seekor itik nila kau tu pada Tih. ”
“ Kau mengidam Tih? ”
“ Perempuan Mek oiii… ”
“ Baiklah Tih. Tak payahlah kau bayar duit itik Mek tu. ”
“ Terima kasihlah Mek. ”
Cu Tih kemudian menghalau itik-itik nila Mek Ni yang sedang memakan nasi di dalam tempurung di tepi dapurnya. Mek Ni juga memanggil itik-itik nilanya itu. Masing-masing akur. Terus berlari pulang.
Mudah bagi Mek Ni menangkap seekor lalu memberinya kepada Cu Tih.
Sepagi itu, Cu Tih kerjakan itik nila itu. Cu Tih minta tolong Pak Ngah In, adik ayah suaminya,  mmenyembelihkan itik nila itu.
Selesai memasak, Cu Tih terus makan. Berselera betul dia makan, biarpun seorang diri. Dia tidak sabar untuk menunggu Mat Di pulang dari kerja.
Itik-itik nila Mek Ni terdongak-dongak di muka pintu rumah Mat Di, mengutip sisa-sisa makanan Cu Tih. Antaranya, tulang-tulang kecil rakan mereka. Seekor nila jantan.
Mek Ni memanggil itik-itik nilanya. Secepat kilat itik-itik itu menangkap suara tuan mereka. Masing-masing terdongak-dongak sambil mengeluarkan suara. Kemudian berlari pulang. Gembira, kerana makanan sedia menanti di dalam bekas di reban.
Mat Di terkejut bila menyedari koceknya kosong. Dia tidak terus ke rumah rakannya, Padin. Mat Di pulang dengan perasaan geram berbaur kecewa.
Tiba di hadapan rumah Mek Ni, Mat Di nampak itik-itik nila Mek Ni bergelimpang di bawah rumah. Mat Di tersenyum puas. Rancangannya sudah berjaya.
“ Aduh! Aduh! ”
Mat Di dengar suara mengerang sebaik saja tiba di halaman rumah papannya.
“ Apakah Cu Tih sudah tiba masa untuk melahirkan anak? Tak mungkin. Doktor kata, dua bulan lagi. ” hati Mat Di berteka-teki.
“ Aduh bang. Perut Tih sakit bang. Tolong Tih bang. ”
“ Kenapa Tih. Kenapa? ” Mat Di diterkami kebimbangan.
“ Abang…tolong bang. Perut Tih sakit bang. Bawa Tih ke hospital bang…”
“ Baiklah Tih. Mengucap Tih. Abang akan pergi menelefon ambulans. ”
Kini, Cu Tih sedang bertarung hebat dengan maut. Perutnya terasa memulas-mulas. Bagai ditarik-tarik, dicucuk-cucuk.
“ Uwek… ” Cu Tih muntah keluar darah. Urat perutnya semakin memulas-mulas. Dicucuk-cucuk, ditarik-tarik bagai akan tercabut keluar.
“ Uwek! ”
Darah semakin banyak keluar. Memenuhi lantai rumah. Hanyir.
Mata Cu Tih berkunang-kunang. Bibir pucatnya bergerak-gerak. Lambat sekali.
“ Lailahaillallah… ”
Mek Ni nampak Mat Di cemas bercakap di telefon awam di hadapan rumah Tok Ling, nenek Mat Di.
Mek Ni resah. Tapi dia tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Mahu Mek Ni tanya pada Mat Di, tapi dia takut ditengking pula.
Selesai menelefon, Mat Di berlari deras ke rumah, hampir sederas Nordin Jadi memecut lari acara 400 meter. Dada Mat Di turun naik. Tubuhnya lencun bagai disirami hujan.
“ Cu Tih…! ”
Mat Di menggoncang tubuh Cu Tih yang sudah kaku terbaring di lantai ibu, beralaskan tikar getah yang baru diganti sepuluh hari lalu. Muka Cu Tih sudah biru. Lebam.
“ Ada apa Mat Di? ” Mek Ni berkeras hati untuk datang bertanya.
“ Isteriku Mek. Isteriku….,” dalam keadaan tenat begini, mahu juga Mat Di menjawab soalan musuhnya itu.
“ Kenapa? ”
“ Cu Tih dah tak ada.  Aku menyesal Mek kerana dia belum sempat memakan daging itik nila yang diidamkannya. ”
“ Daging itik nila? Tapi Mat Di, pagi tadi Cu Tih datang membeli seekor itik nilaku. ”
“Apa! ”
Mat Di teringat sesuatu. Sebelum pergi kerja pagi tadi, Mat Di campurkan racun rumput ke dalam nasi di dalam tempurung. Kemudian dia meletakkan di tepi dapurnya. Harapannya, itik-itik nila Mek Ni akan makan nasi itu. Biar mampus semuanya.
“ Tidak! Aku tidak membunuh isteriku! ”
Mek Ni tercengang. Mulutnya terlopong. Kematian itik-itik nila dan jirannya, Cu Tih, menghidupkan seribu persoalan di hatinya. Pun, mendung yang kerap menjenguk di muka pintu rumahnya, telah berarak perlahan-lahan.
Langit Kampung Padang Penyangga menyaksikan tragedi yang menyayat itu. Tragedi sebuah dendam.

Oleh: Fadzilah Abd. Majid

(Cerpen ini saya kirimkan dengan hanya bertulisan tangan. Terima kasih kepada Ming. Famili dan Marwilis Publisher & Distributors yang menganjurkan sayembara menulis cerpen ini dan menobatkan saya sebagai pemenang.)


 









No comments:

Post a Comment