Sunday 26 May 2013

TAHNIAH ALIA


Cerpen disiarkan dalam majalah Asuh Nov. 2012


TAHNIAH ALIA!      
                                          
Malam hadir lagi. Siang ditinggalkan untuk seketika. Mudah-mudahan esok masih muncul matahari untuk menerangi alam ini.
           “ Alia, tolong lipatkan kain baju di dalam bakul tu.” Arahan emak hadir ketika Alia sedang menelaah mata pelajaran Sains. Tumpuannya terhadap subjek itu, ternoktah di situ. Alia cepat-cepat menutup buku teks. Disimpan kemas di sudut meja kecil.
           Ikutkan hati, ingin sahaja Alia mengulangkaji pelajarannya. Banyak fakta-fakta yang tidak sempat Alia pelajari ketika di dalam kelas pagi tadi. Perutnya yang sakit memulas-mulas menyebabkan Alia sering berulang alik ke tandas.
           Namun, Alia tidak mahu menjadi anak derhaka. Permintaan emaknya perlu segera ditunaikan. Biarpun Alia keletihan, dia dengan rela hati melipat kain baju untuk mengurangkan bebanan kerja emak. Alia tahu emak penat. Siang hari, emak bekerja di kilang. Malam pula emak menjahit baju yang diupah pelanggan.
           Selesai melipat kain, Alia kembali menyambung belajar. Diambilnya buku latihan. Kerja sekolah yang diberi cikgu Sollehatun, perlu disiapkan. Jika tidak, pasti ada insan yang dihukum berdiri di atas kerusi ataupun di luar kelas. Alia tidak mahu perkara itu berlaku.
           “ Alia, tolong ajarkan adik mengaji Muqaddam. ” Belum sempat Alia  menulis, terdengar lagi suara emak menyampaikan hajat. Alia terdiam. Perlukah Alia menolak harapan emak kali ini. Masa semakin suntuk. Jam di atas rak hiasan sudah pun menunjukkan ke angka lapan. Kerja sekolah masih belum dimulai lagi.
           “ Baik mak.” Alia mengalah jua. Kedengaran suara Irfan, adik lelaki Alia tersekat-sekat mengalunkan surah Al Ikhlas. Alia menegur dan membetulkan bacaan yang salah. Lembut dan penuh kesabaran Alia mengajar adiknya. Namun Irfan agak lambat untuk mengecam dan mengenali seterusnya membaca ayat-ayat suci itu.
           Jam sudah pun pukul sembilan malam. Irfan sudah menamatkan bacaan Muqaddam. Selepas mengucapkan terima kasih dan selamat malam, Irfan masuk ke bilik tidur.
           Cepat-cepat Alia mengambil semula buku latihan untuk menyelesaikan kerja sekolah dan seterusnya mengulangkaji mata pelajaran Sains yang terhenti tadi. Itulah niat dan harapan Alia.
           Bukan Alia tidak mahu membuat kerja sekolah di sebelah petang. Alia mahu. Tetapi tuntutan tugas menidakkan kemahuannya itu.
Pulang dari sekolah, Alia diamanahkan menghantar dan mengambil Irfan dari kelas KAFA. Kemudian kain di dalam mesin basuh yang dibasuh emak malam tadi, perlu disidaikan di ampaian.
       Pukul tiga petang, Alia kembali ke sekolah. Alia seorang murid yang aktif aktiviti kokurikulum. Pertandingan bola jaring, bola baling, nasyid, mendeklamasi sajak, membaca Al Quran, Kalam Jama’ie dan berpidato. Semuanya Alia turut serta. Masa petang Alia banyak dihabiskan untuk aktiviti-aktiviti berkenaan.
       Atas alasan itulah, Alia hanya sempat menelaah dan membuat kerja sekolah di sebelah malam.
       “ Alia, benang hijau emak dah habis pulak. Tolong belikan untuk emak ya. Esok cikgu Sajilah nak datang ambil baju kebayanya ni. ”
       Sekali lagi tugas Alia sebagai pelajar terbantut. Setelah menerima RM3 daripada emak, Alia mengayuh basikal antiknya ke pasar mini di Pekan Junjong. Dalam perjalanannya, Alia teringat kata-kata Ustaz Sukri ketika memberi ceramah di kem motivasi tahun lepas.
       “ Dan kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Surah Al- Ahqaaf. Allah SWT berfirman lagi di dalam surah Al- Isra’ ayat 23 hingga 24, supaya kita menjaga hati dan perasaan ibu bapa. ”
       Kata-kata Ustaz Sukri itu, Alia pegang sekuat-kuatnya. Ayat-ayat itulah yang menjadi pedoman kepada dirinya kini. Walaupun letih dengan setiap kerja yang perlu dilakukan, tetapi demi ibu tersayang, Alia redha. Sungguh-sungguh redha.
       “ Pon! Pon! ” Bunyi hon kereta menamatkan lamunan Alia. Rupa-rupanya kedudukannya betul-betul di tengah jalanraya. Mujurlah tidak berlaku sesuatu yang buruk.
       “ Terima kasih Allah, kerana menyelamatkan diriku dari mengalami kemalangan. “
       Malam itu, setelah hampir pukul dua belas, barulah Alia selesai membuat kerja sekolah dan mengulangkaji mata pelajaran Sains. Alia sangat mengantuk. Badan Alia lenguh-lenguh. Terdetik di hati Alia untuk meminta emak mengurut.Tetapi Alia cepat-cepat diterpa kesedaran. Dia tidak patut menyusahkan emak. Emak juga seperti dirinya. Letih dan mengantuk. Alia tersenyum melihat mulut emak yang ternganga. Bunyi keruhan dari mulut emak yang tertidur di mesin jahit agak kuat. Kesian emak, getus hati Alia.
       Keesokannya Alia ke sekolah seperti biasa. Basikal antiknya agak meragam pagi ini. Krek, krek bunyinya. Entah apa yang rosak, Alia kurang pasti. Di pertengahan jalan, kayuhannya terhenti. Basikalnya rosak lagi. Alia menuntun basikalnya perlahan-lahan. Peluh pagi mula merayap keluar di celah-celah liang romanya.
       “ Alia, kenapa dengan basikal kamu? “ Alia tersentak. Dia merenung ke arah wajah yang menegurnya.
       “ Eh, cikgu Sajilah. Basikal saya rosak cikgu.”
       “ Mari naik kereta cikgu. Basikal tu nanti cikgu akan hantarkan ke kedai untuk diperbaiki. Cikgu bayarkan. ”
       Alia terkedu. Allah Maha Menyayangi. Dikurniakan seseorang yang baik hati di kala Alia di dalam kesusahan. Alia benar-benar bersyukur.
       “ Terima kasih Tuhanku di atas rahmatMu. ” Alia tersenyum. Di ingatannya terbayang wajah emak. Emak yang amat Alia sayangi.
       Dua bulan berlalu. Rutin harian Alia tetap sama. Bergelut dengan pelajaran di sekolah dan di rumah. Bergelut dengan kerja-kerja yang diamanahkan oleh emak. Namun di dalam hati Alia dan di dalam minda Alia, tiada setitis pun rasa kurang senang atau pun benci dengan amanah-amanah itu. Alia sudah lali dengan kepayahan. Alia sudah mangli dengan keletihan. Justeru, yang timbul hanya rasa syukur dan redha dengan setiap nikmat kehidupan yang dimiliki.
       Peperiksaan akhir tahun juga sudah tamat. Alia merupakan antara pelajar cemerlang. Malah, terdapat satu peristiwa yang tidak dapat Alia dan emaknya lupakan.
       “ Juara adalah Puan Sarina Mahmud. ”
       Tepukan kedengaran begitu gemuruh. Emak nampak terkejut. Begitu juga Alia. Baju kebaya hijau milik Cikgu Sajilah sengaja dicalonkan oleh cikgu berkenaan kerana berniat mahu membantu keluarga Alia. Tambahan pula, pemenang akan diberi dana bagi membuka butik pakaian sendiri.
       Cikgu Sajilah sangat gembira. Dia memeluk emak erat sekali. Emak pula tidak putus-putus mengucap kata syukur. Sudahlah peperiksaan Alia sangat membanggakan, ditambah pula dengan rezeki yang tidak terduga yang diperolehi olehnya benar-benar membuatkan mereka bersyukur. Mereka yakin dengan rezeki dan takdir Allah selagi mana kita terus berusaha.
      


Oleh: FADZILAH ABD. MAJID



No comments:

Post a Comment