Sunday, 26 May 2013

PANGKIN


Cerpen  disiarkan dalam antologi Selembut Hati Dilla terbitan DBP, 1994 diselenggara Darwis Harahap
                                            
PANGKIN
Pangkin. Lagi-lagi pangkin. Dua puluh empat jam pangkin. Sudah lali benar telingaku mendengar nama itu. Asal saja mata kami bertembung, perkataan itulah yang mula terlontar dari dua bibirnya yang merah kehitaman itu, Macamlah aku ini pekak atau orang suruhannya.
       Kadang-kadang panas juga hati ini. Aku manusia, yang punya hati dan perasaan. Lainlah jika aku ini robot, hanya mengikut telunjuk tuannya tanpa memikirkan apa-apa.
       Tapi mujurlah imanku masih menebal. Tidak ada faedah aku melawan cakapnya. Kata orang, di dalam rumah tangga tidak baik bertengkar. Aku akur tetapi sesekali terjadi juga perbalahan pendapat. Hal-hal kecil. Kerana aku memegang kepada satu prinsip, bahawa sesebuah  rumah tangga  itu pasti ada rajuk dan pujuk. Kedua-duanya saling perlu memerlukan.
       Sebenarnya, bukan aku yang  mencipta prinsip itu. Tetapi Pak Lang Hamidku. Rumah tangganya aman bahagia hampir 30 tahun. Pernah sekali aku menyoal Pak Lang Hamid tentang bagaimana dia dapat menjaga keharmonian rumah tangganya itu. Lalu jawapannya adalah sebagaimana prinsipku tadi.
       Tapi malang, isteri Pak Lang Hamid, Mak Lang Miah baru sebulan pergi kerana menyahut seruan Illahi. Kata Pak Lang Hamid, Mak Lang Miah mengidap sakit batuk kering, Kata doktor, tuberculosis.
       Patutlah aku kerap benar mendengar batuk Mak Lang Miah, terutama pada waktu malam.Kasihan Pak lang Hamid, tentu hidupnya sunyi apabila bersendirian begini. Anaknya cuma seorang tetapi sudah meninggal dunia dalam kemalangan di tempat kerjanya. Tapa jatuh dari tingkat 10 ketika sedang mencuci cermin tingkap sebuah bangunan pencakar langit.
       “ Abang! ”
       Eh! Itu suara Silah, isteriku. Tak lainlah tu. Tentu pasal pangkin lagi. 24 jam pangkin. Tak boleh tengok aku senang sikit.
       “ Abang, dah berapa kali Silah suruh. Buat pangkin di laman tu. ”
       Ah, kan betul telahanku. Pangkin lagi.
       “ Eh abang ni, orang cakap dia buat tak peduli aje. Abang dengar tak apa Silah cakap ni?”
       Padan dengan mukanya. Sudah tak kuasa aku hendak mendengar leterannya tu. Naik menyampah betul aku.
       “ Abang!!! ”
       Eh, main tengking-tengking pula dia. Ini dah melampau. Aku bagi penampar sekali nanti, haa, baru dia tahu siapa aku ni. Nak tengking-tengking kita pula.
       Alamak, merajuk. Ha, tahu pun merajuk. Pergi lipatkan kain yang berselerak dan berlambak di atas katil tu kan ke lebih baik. Silah, Silah.
       Sebenarnya, bukan aku tak mahu buatkan pangkin itu, tapi ada masalahnya. Sehingga hari ni, 15 November, baru lima hari aku dapat menoreh. Selebihnya cuti. Bukan cuti malas atau sakit. Tapi pokok getah yang basah. Hujan tidak berhenti-henti. Macammana nak menoreh?
       Habis, dari mana aku nak korek duit nak beli papan? Nak beli kayu dan paku untuk buat pangkin tu? Untuk makan pun susah, inikan pula untuk buat pangkin.
       Rugi rasanya duit jika aku belikan perkakas-perkakas tu. Macam buang duit pula. Lagipun, apa pentingnya pangkin tu? Kan lebih baik aku belikan papan, tukar dinding yang dah reput. Salin lantai yang dah patah.
       Di mana pula Silah ni? Diam-diam dah hilang. Ini tidak lainlah ni, pasti ke rumah Mak Long Basiah. Mak Long Basiah, janda kaya tu. Tentu sedang bersembang rancak di pangkin depan rumah, hasil titik peluh arwah Pak Long Semail.
       Entah apalah yang dibualkan mereka? Entah-entah sedang mengata aku. Ah, gasaklah. Asal jangan sampai terdengar ke telingaku cukup. Nak maki ke, nak kutuk ke, makilah. Kutuklah. Mereka juga yang mengumpul dosa ke dalam belanga hidup  mereka.
       Bukan aku tak pernah mengajar si Silah tu tentang dosa pahala. Tentang hukum isteri melawan suami. Tentang salahnya mengata dan mengumpat. Sudah. Malah telah berbuih mulut aku ni. Tapi masih tak berubah. Macam itulah juga. Akhirnya aku dah tak tahu nak buat apa lagi sekarang.
       Silah, Silah. Sampai bilalah baru kau nak ubah fiil kau tu?
       Alamak, dia balik. Agaknya dia dengar rungutan aku tadi? Mustahil. Bukannya dekat jarak rumahku ke rumah Mak Long Basiah tu. Jauh.
       “ Abang, Mak Long Basiah kata, arwah Pak Long Semail cuma keluarkan RM 40 saja untuk bina pangkin tu. Murah je. Boleh la bang…”
       Laa, pangkin lagi. Memujuk pulak tu.
       “ Kalau abang tak ada sebanyak tu, ok, Silah bagi separuh. RM20. Boleh? ”
       Lebih baiklah kau bagi terus RM 40 tu. Senang kerja.
       “ Beginilah Silah, abang nak tanya. Kenapa Silah nak sangat abang buatkan pangkin tu, haa? ”
       “ Dulu abang juga yang tak mahu Silah ni berjalan jauh. Susahlah. Kacau rumah tangga oranglah. Ha, dah macam tu, abang buatlah pangkin di laman tu. Boleh Silah sembang di depan rumah. Tak payah nak berjalan jauh lagikan? ”
       Panjang pula jawapannya. Tapi betul juga. Memang aku tidak suka dia berjalan jauh-jauh. Sementelah pula sampai petang baru nak balik. Macamlah tak ada rumah tangga sendiri.
       “ Ha, macam mana bang, setuju tak? Lagipun bang, si Din pun mudah nak main bang. Tak payah duduk atas tanah lagi. ”
       Ah! Mampat betul khutbah isteriku kali ini. Rasanya aku terpaksa mengalah sekarang. Duit aku pun masih ada baki lagi.
       “ Baik, mana wangnya? ”
       “ Nah, dua puluh ringgit. ”
       Ada juga duit isteriku ini.
       Esoknya, aku hanya menyiapkan pangkin di laman rumah bawah pokok manggis. Silah tersenyum memanjang. Puaslah tu agaknya. Mujurlah hari ni hujan, kalau tidak, rugilah sehari. Ponteng menoreh.
       Keesokannya aku lihat isteriku tak berjalan jauh lagi. Jiran-jiran dua tiga orang turut berkumpul di pangkinku. Maaf, pangkin Silah. Din anak sulungku, dah tak main pasir. Terasa pula bangga di hatiku. Ada juga insan yang sudi mencecahkan punggung mereka ke lantai pangkin hasil penat lelah aku itu.
       Mak Long Basiah pun datang  juga. Apa dah jadi pada pangkinnya? Ah, gasaklah. Asalkan Silah tak berjalan jauh lagi, cukup puas hatiku.
       Rancak sungguh mereka bersembang. Mula-mula kisah pokok getah,  hujan selalu. Lepas tu kisah rumah tangga masing-masing pulak. Kemudian kisah duit. Akhirnya cerita… Ha! Ini yang aku tak mahu dengar ni. Kerana aku takut terjadi beginilah makanya aku tak mahu buatkan pangkin tu. Buat tambahkan dosa aje. Bukan saja dosa mereka yang mengumpat cerca tu, malah dosa aku juga. Kerana aku yang buatkan pangkin itu.
              Hari-hari seterusnya, pangkin di laman rumahku tak pernah terbiar kosong, tanpa penghuni seperti Pak Lang Hamid yang ditinggalkan isteri dan anaknya itu. Sentiasa dipenuhi orang. Sentiasa pula mendengar sembang-sembang. Pangkin itu kini sudah menjadi tempat mengata, mengumpat dan mengeji. Tempat mengumpul dosa.
       Aku benci. Benci sesungguh. Patutlah disuruh sangat aku buatkan pangkin tu. Rupanya supaya mudah dibuat tempat mengumpat. Tempat menjaga tepi kain orang.
       Menyesal aku dirikan pangkin tu. Kalau tak ada rasa tanggungjawab, sekarang juga aku robohkannya. Aku bakar biar jadi arang. Puas hati. Tapi jika aku bakar, beerti aku bodoh, bodoh amat sangat. Membakar duit pula.
       Tentu Din anak aku tu, main pasir semula. Silap-silap makan pasir. Siapa tahu? Sudah tu, pasti kotor pula baju seluarnya.
       Malam itu, sebelum lelap tidur aku asyik teringatkan pangkin itu. Adakah aku perlu merobohkannya atau membiarkan saja ia menjadi dewan mengata. Dewan dosa.
       Esoknya seperti selalu Din bermain di atas pangkin itu. Main bola dan entah apa lagi. Macam-macam barang mainan Silah sediakan. Tapi bukanlah barangan yang dibeli di kedai. Cuma mainan daripada kotak-kotak biasa dan kayu-kayu atau kerusi kecil.
       Buas sungguh Din pagi ni. Riang pulak tu, biarpun tanpa teman.
       Kemana pula isteriku? Ooo, sedang menyapu sampah. Eloklah tu. Laman pun dah semak dengan daun-daun manggis kering.
       Eh! Tepi sangat Din duduk atas pangkin tu. La, dia kejar bola pula. Eh, eh… Din jatuh pangkin. Ya Allah, anakku. Menangis kuat dia. Tentu sakit.
       Itulah Silah, pangkin tu banyak mendatangkan masalah. Kau degil. Kau tak mahu dengar cakap suamimu. Sebentar lagi datang pulak rakan-rakan `meeting` kau tu. Mengata lagi di atas pangkin tu. Agaknya pangkin tu pun marahkan kau Silah. Sebab tu dia jatuhkan si Din anak kita tu. Mujurlah kenanya tu tak seteruk mana, Kalau patah kaki atau tangan, nahas kau.
       “ Abang nak robohkan pangkin tu? Eh, abang ni, kenapa pulak? Takkanlah baru sekali anak kita jatuh abang dah nak marah. Nak runtuhkannya. ”
       “ Dah lama abang marah. Dah lama abang nak bakarkannya. ”
       “ Kenapa pulak? Apa salahnya pangkin tu?  ”
       Eii… Kau masih tak faham Silah. Aku benci. Rumah ni dah jadi tempat mengumpul dosa, Silah…
       “ Abang, tolonglah, janganlah robohkan pangkin tu... ”
       Kedengaran bunyi deruman kereta membelah malam. Kereta siapa pulak tu?  Brang! Brak!!! Kereta tu dah langgar sesuatu.
       “ Abang, kalau abang robohkan pangkin tu, rugilah Silah. Duit dua puluh ringgit yang Silah bagi pada abang buat pangkin tu, sebenarnya Silah pinjam dari Mak Long Basiah. ”
       Apa?
       Silah, Silah. Sampai sungguh hatimu Silah. Kau menipu aku suamimu, Silah. Kau membohongi aku. Aku benar-benar tidak menyangka Silah, hanya kerana sebuah pangkin kau sanggup menipu aku. Sekaligus kau telah memalukan aku. Aku, suamimu. Majid bin Ghani. Suamimu yang sah.
       Tidak terfikirkah oleh otak berpendidikan SPM-mu Silah, bahawa dengan meminjam wang daripada Mak Long Basiah, seorang janda, kau telah menempek setompok keaiban ke muka aku? Tidak terikirkah oleh kau Silah?
       Ya, Allah.
       Eh, sangkaku isteriku masih di sini. Rupanya sudah hilang. Tak lainlah tu, tentu merajuk. Tahu pun merajuk. Tapi kali ini aku tak akan pujuk, Silah. Tidak.
       Apa yang aku mahu, Silah datang padaku. Menyembah kakiku. Memohon maaf di atas kesalahannya.
       Aku mahu, air matanya menjadi saksi adegan itu kelak. Dan akhirnya aku mahu Silah bersumpah sambil menjunjung kitab suci al-Quran bahawa dia tidak akan mengulangi lagi perkara itu.
       Itu yang aku mahu isteriku Silah lakukan.
       La, apa dah jadi ni? Itu nampaknya Silah dan anakku Din. Ada beg pulak di tangan kiri Silah tu.
       Eh, merajuk benar ke kau Silah? Baru sekelumit aku marahkan engkau, engkau dah nak lari Silah.
       Ah, aku tahu, itu cuma lakunannya sahaja. Bukannya aku tak faham perangainya tu. Sudah masak benar aku dengan fiilnya. Sekilas ikan di air, aku dah tahu  jantan betina.
       Dulu, lima bulan yang lepas pernah sekali Silah melakunkan peranan yang sama seperti sekarang ini. Beria-ia benar dengan anak di dalam dukungan dan sebuah beg di tangan kiri.
       Air mata, tak usah ceritalah. Merembas-rembas. Berjurai-jurai macam air hujan. Mulutnya pula, bagai bertih goreng.
       Tapi di dalam hatiku amat berdebar. Hanya Allah saja yang tahu. Apa tidaknya, jika betul isteriku merajuk dan balik ke rumah ibu bapanya di Sedim, pasti sudah menjadi kes lain. Pasti aku dipersalahkan oleh ibu bapanya. Ibu bapa mana yang tidak menyebelahi anak? Alamat pekaklah telinga aku kena maki hamun mereka.
       Dalam debaran itulah aku memujuknya. Tak sangka sungguh aku, mudah benar aku dapat melembutkan hatinya.
       Apa sudah jadi selepas itu? Silah tersenyum. Kemudian berpatah balik naik ke atas rumah.
       Oleh sebab itulah, aku tak gentar dan berdebar lagi melihat lakunan isteriku kali ini. Aku pasti. Malah cukup yakin. Sekali aku pujuk, pasti mencair segala kemarahan dan rajukannya itu.
       Tengoklah.
       “ Silah, Silah. Kau nak ke mana ni? ”
       Diam. Menyombong benar kau ya Silah. Soalan aku pun kau tak jawab. Malahan semakin deras dan laju pula langkah kaki kau.
       “ Silah, kau tak dengar ke abang tanya ni? ”
       “ Balik! ”
       “ Apa! Balik? Balik mana? Kan rumah kita di sini. Nak balik kemana lagi? ”
       “ Rumah mak! ”
       “ Hei, ngapa ni? Kau dah fikir habis-habis ke ni Silah? ”
       “ Sudah! ”
       Wah, kalau macam ni tak boleh jadi ni. Silah bukan berlakun lagi ni. Merajuk betul dia kali ini.
       “ Silah, kerana perkara sekecil itu kau dah hilang akal. Dah tak tahu nak berikir buruk baik aka tindakan kau tu. Apa kau dapat dengan balik ke rumah mak? Mengeruhkan keadaan adalah. ”
       “ Keruh ke, jernih ke, Silah tak peduli. Silah nak balik. ”
       Amboi bijaknya dia menjawab.
       “ Silah, perkara macam ni biar kita saja yang tanggung. Jangan babitkan orang lain. Apatah lagi mak ayah Silah. Malu kita juga Silah. ”
       “ Silah tak peduli. Apa nak jadi, jadilah! ”
       Garangnya dia hari ni. Macamana ni?
       “ Kau menyanyi lagu Datuk S.M Salim, Silah. Pandai kau. ”
       Moga-moga gurauan aku itu akan meredakan kemarahannya.
       Ya Allah, bas dah sampai tu. Silah pun dah menahannya. Moga-moga penuhlah isi perut bas. Moga-moga bas tidak berhenti di depannya.
       Hancur. Silah telah pun memijak satu demi satu anak tangga bas. Apa akan jadi nanti?
       Hujan. Sejuk benar petang ini. Alangkah baiknya jika Silah ada. Jika Azzrudin anakku ada.
       “ …Mereka yang terbunuh dalam kemalangan ngeri di antara sebuah bas penumpang dengan sebuah lori balak itu ialah seorang ibu dan anak lelakinya yang berusia tiga tahun. Mereka ialah Fasilah binti Hafizi dan anak lelakinya, Azzrudin bin Majid. Keduanya meninggal dunia di tempat kejadian. ”
       Ya Allah, ya Allah! Benarkah dengan apa yang aku dengar ini? Benarkah!!!
       Silah……
       Din……
       Jangan tinggalkan aku.
       Jangan tinggalkan aku..
       Jangan tinggalkan aku…
       Silah, abang akan bina pangkin untuk kau  Silah. Abang akan buatkan pangkin yang besar dan cantik. Abang akan buatkan bumbung di atasnya. Abang akan mengecat pangkin itu dengan warna kesukaanmu, hijau kuning. Abang berjanji Silah. Abang akan buatkan pangkin sebagaimana kehendakmu Silah.
       Pulanglah Silah. Pulanglah pada abang. Bawalah anak kita pulang Silah. Jangan tinggalkan abang. Jangan tinggalkan abang Silah.
       Sunyi benar aku kini, setelah ketiadaan Silah dan Din. Sesunyi Pak Lang Hamid yang ditinggalkan isteri dan anak.. Siapa yang menyangka? Takdir penentu segala. Nasib aku dan Pak Lang Hamid benar-benar serupa.
       “ Abang… abang…mari abang. Mari… mari pada Silah bang. Silah rindukan abang…”
       “ Ayah. Ini Din ayah. Kemana ayah pergi? Sudah lama Din tidak melihat wajah ayah. Din rindukan ayah…”
       “ Abang, Silah mohon maaf banyak-banyak pada abang. Silah bersalah pada abang. ”
       “ Ayah, marilah ayah. Marilah peluk Din ayah. ”
       “ Abang Silah tipu abang. Silah pinjam duit daripada Mak Long Basiah. Silah beri pada abang…tentu abang sangka itu duit Silah sendiri. Maafkan Silah ya bang. ”
       “ Ayah, datanglah ke sisi Din ayah. Din sunyi di sini. Din sepi ayah. Kasihanilah pada Din ayah. ”
       Din, kau dah besar Din. Kau dah boleh bercakap Din.
       “ Ayah, mak selalu merintih. Emak kata, dia menyesal menyuruh ayah buatkan pangkin. Akibatnya, emak dan Din terpisah daripada ayah. ”
       “ Betul bang… benar kata Din tu. Silah menyesal bang. Silah menyesal. ”
       “ Tidak! Tidak! Kau orang dah mati. Kau orang dah tak ada. Itu bukan suara isteriku Silah. Itu bukan suara anakku Azzrudin, Itu suara hantu. Itu suara syaitan!!! ”
       “ Abang kejam! ”
       “ Ayah kejam! ”
      “ Din, keluarkan kuku dan siung kau yang tajam tu. Pergi cekik lehernya. Kemudian kau hisap pulak darahnya tu. Pergi Din, pergi. ”
       “ Baik mak, Din akur. Din tak akan menderhaka kepada emak. Hihihihihi…. ”
       “ Tolong! Tolong! ”
       “ Eh, abang, kenapa dengan abang ni? ”
       Eh, apa dah terjadi kepada aku ni? Dan kenapa Silah ada di sini?
       Bukankah Silah sudah balik ke rumah ibu bapanya di Sedim? Dan Bukankah bas yang dinaiki oleh iateri dan anakku itu berlanggar dengan lori balak? Dan Silah serta Din telah terbunuh?
       “ Bas yang Silah naik tadi, rosak di simpang tiga dekat kedai Ustaz Bakar tu. Jadi, Silah pun berpatah balik ke rumah. Bila Silah sampai abang sedang tidur. ”
       Ooo…begitu ceritanya. Jadi tadi aku bermimpilah rupanya.
       “ Abang, bang. Esok abang buatkan pangkin ya bang.”
       Pangkin lagi. Belum lupa kau Silah. Aku sangat gembira bila teksi yang membawa anak Mak Long Basiah terlanggar pangkin kita sehingga roboh. Kini, kau minta lagi nak buatkan pangkin.
       “ Abang, bang. Silah ada hadiah buat abang. ”
       Ini tentu nak memujuk ni. Pasti.
       “ Waktu Silah sedang berjalan pulang selepas kerosakan bas tadi, Silah terserempak dengan teksi yang melanggar pangkin kita semalam. Dia  bagi lima puluh ringgit pada Silah. Katanya, pada malam tu, akibat tergamam dan terkejut kerana kemalangan tu, dia langsung terlupa untuk membayar ganti rugi. Itu sebab dia datang hari ini. Baik betul pemandu teksi tu, bang ya? ”
       Betulkah Silah? Betulkah?
       “ Mana wangnya?  ”
       “ Ini, lima puluh ringgit. ”
       “ Bukan kau pinjam daripada Mak Long Basiah? ”
       “ Abang! Silah cakap yang benar ni. ”
       Apa pilihanku sekarang?
       Yang nyata kini, aku telah kalah di tangan isteriku. Pangkin baru mesti aku dirikan esok.
       Hujan tak berhenti. Seolah mengejek aku.
       Prang! Bunyi apa tu?
       “ Abang, bumbung dapur bocor, dahan manggis timpa. ”
       Oh Tuhanku. Terima kasih di atas kebocoran itu. Terima kasih. Duit lima puluh ringgit itu, tidak akan kubeli papan dan kayu untuk sebuah pangkin baru. Tetapi akan aku gunakan untuk membaiki bumbung dapurku yang bocor.

Oleh: Fadzilah Abd. Majid


                               

No comments:

Post a Comment