Sunday, 8 November 2015

PENJARA SAKIRA

PENJARA SAKIRA

Di mana fana
ke mana baqa?
Realiti hancur
insaf pun lebur
akal menghimpun kelam
jerat ke Jahanam.

PADIN MAJID
Kulim, Kedah
HARAKAH

Monday, 19 January 2015

SIULAN LAGU PERPISAHAN

SIULAN LAGU PERPISAHAN
2014
awan pilu semakin jelas
kala menyemai mataku dalam matamu
lalu resah menyedut parah
mengecutkan riang di jiwa kontang.
Ada duka mencekik malam kita
terkapar dalam gerhana
elus bayu sayu mendinginkan rasa
tanpa diselimuti gebar bahagia
terpaksa rela.
Mersik suara 2015
asyik mencipta siulan
mendendangkan lagu perpisahan
atas pentas senyum yang ikhlas.
Padin Majid
Kulim, Kedah
11,00pm
31-12-14

ALMANAK BAHARU

ALMANAK BAHARU

Kembang api mercik
antara ufuk langit
riuh dentum melarut
segala permana hidup
lalu terlupa untuk berdoa
tika menyambut kehadirannya.
Walau siang benderang
atau malam berbintang
leka mengulit lakonan dunia
asyik alpa di pentas fana.
Lembut tangan, gapai
almanak baharu, capai
sekian lama janji sudah termeterai
untuk anugerah teramat indah
hadiah percuma
buat kita nikmatinya.
Usah terhenti
kemaslahatan dibina
usah esok teka-teki
berbilang selingkuhnya.
Peluk dan ciumlah
sejadah takwa
terhamparnya
dua belas purnama.

Padin Majid
Junjong
12.44pm
02-01-15

SEKEPING KERTAS UNGU

SEKEPING KERTAS UNGU
Kerana sekeping kertas ungu
limpahan tamak membanjiri kalbu
kasih sayang pun disembelih
darah derhaka meleleh.
Sehelai cinta
dipijak henyak
parah terkoyak.
Murahnya nyawa
tidak semahal nilai
sekeping kertas ungu.
Padin Majid
Kulim, Kedah
12-01-15

INSAN TABAH, INSAN TAKWA

INSAN TABAH
INSAN TAKWA
Tidak akan ada
keluhan kecewa
saat bencana
menghuni usia.
Pasti reda
disisih kasih hati
kerana masih ada
cinta Ilahi.
Pasrah menerima ujian
hadiah kawan dan lawan
secara tiba-tiba
menghulur kritikan.
Meski panorama gelap di sisi
tak seindah mimpi
tetap mensyukuri
anugerah Allah ini.
Keseronokan yang diharap
kesulitan yang didakap
pun senyum masih ada manisnya
mendambakan kebahagiaan di sana.
Padin Majid
Kulim, Kedah
05.00pm
14-01-15

MAWAR BERDURI

MAWAR BERDURI
Mawarku
durimu telah menoreh luka di jari
saat sayangku leka memeluk nubari
dan ketika belaian cinta terusap
darah resah dakap meresap
jiwa pun cedera terseksa
sakitnya.
Meski itulah anugerah
atas rimbunan cinta
aku masih setia
siram dan baja
belai dan puja
merahmu yang berani
marahmu yang wangi.
Aku yakini
andai bukan hari ini
esok pasti mawar berduri
akan aku miliki.
Padin Majid
31-12-13
CINTA: ANTARA BUTA, DIPERHAMBA DAN GILA
Kata orang
cinta itu buta, elakkan sahaja
jangan!
Biarlah
biar mata buta pada indahnya dunia
biar hati buta pada peritnya menuju syurga.
Kata mereka
cinta itu diperhamba, jauhkan sahaja
jangan!
Biarlah
biar tenaga diperhamba pada Ilahi
biar minda diperhamba pada Yang Maha Suci.
Kata dia
cinta itu gila, tinggalkan sahaja
jangan!
Biarlah
biar hati gila mengejar takwa
biar diri gila mengutip pahala.
Merasai cinta Allah
Menikmati cinta Rasullulah
antara buta, diperhamba dan gila
Insya-Allah
syurgalah anugerah.
Padin Majid
Kulim, Kedah
05.40pm
16-01-15