SEINDAH ILHAM, SECANTIK ANUGERAH ALAM ( Ilhamku untukmu, fotoku untukmu, ceritaku untukmu, lakaran jiwaku untukmu )
Sunday, 26 May 2013
DIK DUAN, MAAFKAN EMAK
“DIK DUAN, MAAFKAN EMAK”
Bahang matahari terasa amat perit. Cuaca panas melampau yang melanda, menghadirkan seribu keresahan kepada setiap penghuni alam ini. Pelbagai gelagat manusia yang terlukis di ruang menunggu. Ada lelehan peluh di sana sini. Kipas tangan, surat khabar dan sapu tangan bergoyang ke kiri dan kanan, berulang alik. Biarpun hanya sedikit kesejukan yang datang, ianya sudah memadai kepada pesakit-pesakit yang hadir untuk pemeriksaan doktor.
Dan ketika saya sedang menunggu giliran di klinik kesihatan bandar Kulim itulah, mata ini mencuri pandang kepada seorang kanak-kanak lelaki yang didukung seorang wanita. Rupa parasnya sangat comel. Kulit putih melepak, mata galak dengan bulu mata yang panjang melentik. Kedua-dua belah kakinya keras terkedang.Terdapat tiub wayar yang dipasang ke dalam lubang hidungnya. Ada kesan luka hiris yang besar di situ. Mungkin wayar berkenaan telah lama dipasang sehingga menyebabkan adanya luka itu. Pasti kesakitan menghantui kanak-kanak berkenaan. Namun apa yang amat menghairankan saya, kenapa bentuk kepalanya tidak sempurna. Seakan ada lubang di bahagian hadapan kepalanya. Apa sebenarnya yang berlaku kepada anak comel itu? Pasti ada sejarah hitam yang dilaluinya.
Wanita yang bertubuh agak gempal kelihatan sugul. Bayangan keresahan menjelma di raut wajahnya. Manakala seorang lelaki kurus nampak gelisah. Sekali-sekala, mereka berbual sesuatu. Entah apa yang diperkatakan. Mungkin melayan rasa bosan kerana terlalu lama menanti giliran dipanggil doktor. Sudah hampir 30 minit berlalu. Masih tiada tanda-tanda nombor giliran akan muncul di skrin di pintu bilik pemeriksaan. Kanak-kanak lelaki itu sudah berulangkali menangis, diam, menangis lagi, diam dan menangis lagi. Bayangkan betapa seksanya kanak-kanak itu, emak dan ayahnya menghadapi situasi begitu. Pastinya mereka bukan di kalangan insan yang berada atau berwang. Kerana itulah mereka sanggup menempuh keadaan begini. Biarlah lambat dan berpanas (tiada penghawa dingin di ruang menunggu), asalkan anak mereka mendapat rawatan yang sempurna dengan percuma.
Disebabkan perasaan ingin tahu yang membuak-buak di dada, dengan perlahan-lahan saya melangkah ke arah mereka. Saya berpura-pura bertanya di manakah bilik pemeriksaan yang bertanda putih? Walaupun sebenarnya saya sudah tahu lokasinya. Lelaki kurus tadi dengan ramah dan prihatin menuntun saya yang bertongkat (akibat kemalangan motosikal) ke bilik berkenaan. Selepas bersalaman dan memperkenalkan nama, kami duduk bersebelahan. Setelah menyoal itu dan ini, benarlah seperti telahan saya sebelum ini, mereka adalah pasangan suami isteri yang datang membawa anak untuk pemeriksaan.
Menurut kata lelaki berkenaan, anaknya mengalami demam dan tarik atau kekejangan. Keadaan itu sering melanda hidup anak sulung mereka. Sejak kejadian malang yang menimpa Muhammad Zulfan Firdaus 2 tahun yang lalu, klinik dan hospital sudah menjadi rumah kedua bagi Siti Hajar dan Mohd. Zuhairi.
Lantaran sifat ramah yang ditunjukkan, saya terpanggil untuk terus mencungkil rahsia di sebalik kejadian malang yang menghantui hidup mereka, yang telah menjadi igauan ngeri sehingga kini.
Kelahiran anak lelaki sulung mereka bertarikh 17hb. Sept. 2010 disambut dengan perasaan bersyukur dan gembira. Apatahlagi, kehadirannya setelah penantian selama 2 tahun. Tidak dapat diucapkan dengan kata-kata betapa seronoknya mereka di saat itu. Anak berkenaan ditatang dan dilayan dengan sepenuh jiwa. Pendekata, jika ada nyamuk yang menggigit, akan keluarlah suara amarah ayah kepada emak kerana membiarkan tubuh comel anak digigit makhluk kecil yang merbahaya itu. Begitu juga andai anak didedahkan ke matahari oleh ayah kerana mendukungnya di luar rumah, akan bisinglah pula emak mengomel ketidakpuasan.
Sebut saja apa jenama pakaian yang ada, mereka akan membelinya asalkan anak nampak comel dan bergaya. Sebut pula apa jenis permainan di pasaran, mereka pasti akan mendapatkannya asalkan anak gembira dan ceria. Begitulah sayangnya mereka kepada permata hati yang satu ini.
Namun, takdir Allah tiada siapa yang mampu menghalang. Manusia hanya merancang, Tuhan yang menentukan setiap kejadian. Mengharap sinar matahari hingga ke dinihari tetapi awan hitam yang datang di tengahari.
Ketika usia si comel menjengah 4 bulan, akibat kekangan hidup, emak yang menangguh pengajian di Maktab Koperasi Malaysia, Petaling Jaya, Selangor kerana melahirkan anak, mengambil keputusan bekerja untuk membantu kewangan ayah. Niatnya hanya satu, demi kehidupan mereka yang lebih baik dan hidup semakin terjamin. Kalau sebelum ini, untuk mendapatkan lampin dan susu, ayah perlu berhutang lantaran gajinya sebagai pekerja kilang di Perai agak murah, mudah-mudahan keadaan itu akan dapat diatasi setelah emak bekerja.
Sebelum itu, puas minda emak berfikir, merenung dan mengkaji buruk baik tindakannya itu. Tetapi emak gagal mendapat jawapan yang tepat. Namun setelah solat istikharah dan solat hajat emak lakukan selama 3 malam berturut-turut, akhirnya emak mendapat jawapannya.
Siapa tidak sayangkan anak? Bukan sengaja mahu membiarkan anak dijaga oleh pengasuh, tetapi lantaran desakan hidup, keputusan pahit itu perlu juga diambil. Pengorbanan perlu emak lakukan. Biarlah anak ditinggalkan, asalkan kehidupan akan lebih sempurna. Selepas mendapat lampu hijau dari ayah, emak membuat keputusan muktamad. Emak akan bekerja.
Setelah mencari ke sana dan sini, seorang makcik menyatakan persetujuan untuk menjaga anak. Esoknya, dengan perasaan berbaur antara sedih, kecewa dan keinginan untuk mengubah nasib diri, anak ditinggalkan. Pada mulanya, tangisan anak dan emak sama-sama berlagu. Namun setelah seminggu berlalu, semuanya menjadi baik.
20hb.Jan.2011, emak menerima panggilan telefon daripada mak Ti (bukan nama sebenar), pengasuh anaknya.. Hari itu telah 2miggu emak bekerja kilang di Permatang Tinggi sebagai kerani logistik.
“ Awat mak Ti? Apa jadi kat anak saya?” soal emak apabila mak Ti menghubunginya.
“ Anak hang sakit. Mak Ti tak tau nak buat apa dah. Hang balik lekas nu.” suara mak Ti terketar-ketar. Perasaan emak berkecamuk. Jantungnya berdegup kencang. Sepantas kilat, emak mendapatkan keizinan majikan untuk pulang. Mujur majikannya prihatin, dengan mudah meluluskan cuti kecemasan.
Sampai di rumah mak Ti, emak nampak anak terbaring lesu. Kaki dan tangannya mengejang. Mata putih memenuhi ruang mata. Sisa-sisa muntah bertompok-tompok di atas lantai. Cepat-cepat emak menelefon ayah dan membawa anak ke hospital Sungai Bakap. Disebabkan ketiadaan pakar pediatrik, anak tidak dapat dirawat di situ. Lalu doktor memindahkan anak ke hospital Seberang Jaya. Selepas membuat CT scan, kepala anak didapati mempunyai darah beku di bahagian depan otaknya. Doktor membawa pula anak ke hospital Pulau Pinang kerana hospital Seberang Jaya tidak mempunyai kelengkapan yang mencukupi.
Perasaan sedih dan menyesal merobek-robek hati emak. Sedih kerana anak telah jatuh sakit dan kesal kerana meninggalkan si kecil kepada pengasuh. Emak tak habis-habis menyalahkan diri sendiri. Sementara ayah sudah tidak keruan. Apakah sebenarnya yang berlaku kepada anak? Kenapa secara tiba-tiba malang menimpa? Baru pagi tadi anak ketawa terkekek-kekek apabila diacah. Saat itu, dialah ayah yang paling bahagia di dunia. Bunyi hilai tawa si kecil, ibarat alunan lagu yang menenangkan jiwanya, melarikan dukanya dan mencantas letihnya. Tapi kini, semuanya bagaikan mimpi. Anak hanya terkedang di katil unit rawatan rapi. Ya Tuhanku, berat sungguh dugaan ini, hati ayah dan emak sama-sama merintih. Sedih dan pedih.
“ Anak encik berdua perlu menjalani pembedahan dengan segera. Jika terlambat, nyawanya akan terancam,” itulah kata-kata doktor yang telah menghancur punah hati, jiwa dan semangat ayah juga emak. Bagai dihentak sebongkah batu besar ke atas kepala mereka berdua.
“ Awat doktor. Apa dah jadi pada anak kami?” emak bersuara dalam kepayahan. Ayah hanya diam, terlalu sedih sehingga hilang segala kata-kata. Senyuman manis dan bunyi hilai tawa anak menghantui fikirannya. Bayangan keletah si comel bermain di minda.
“ Selain terdapat darah beku di kepalanya, otaknya juga semakin membengkak. Jika darah beku dan tempurung kepalanya tidak dibuang, kami khuatir dia tidak dapat diselamatkan,” sekali lagi lontaran suara doktor memahat kerisauan di hati mereka.
“ Doktor, apa dah jadi pada anak kami?Awat dia jadi macam tu? ” ada nada resah bertandang di situ.
“ Kami syak, anak encik berdua terjatuh atau mungkin didera, ” spontan kata-kata itu terluah dari mulut doktor.
“ Tak mungkin doktor. Mustahil. Anak kami tak pernah jatuh. Dan takkan kami tergamak nak menderanya. Jentik pun kami tak pernah. Doktor silap, doktor bohong.” emak mula sakit hati. Berderau darahnya mendengar penjelasan doktor tadi. Mana mungkin anak kesayangan mereka didera. Dan emak atau ayah tidak pernah menjatuhkan permata hati mereka itu.
“ Aha doktor. Kami belum gila nak buat anak kami macam tu,” ayah bersuara juga akhirnya. Mungkin tuduhan doktor itu amat berat untuk ayah terima menyebabkan kesabaran ayah berada di tahap yang kritikal.
“ Mungkin kejadian jatuh dan dera ini di luar pengetahuan encik berdua?” teka doktor itu. Saat ini, minda ayah mula berfikir. Mungkinkah semua ini berlaku di rumah pengasuh anak? Soalan itu diajukan kepada emak. Dan, itulah juga jawapan yang berlegar-legar di kepalanya. Wallahhuaklam.
“ Encik perlu segera menandatangani surat keizinan, agar kami dapat melakukan pembedahan.” ayah akhirnya akur. Setelah sama-sama bersetuju, anak menjalani pembedahan kali pertama untuk membuang darah beku. Sementara pembedahan kali kedua pula untuk membuang tempurung kepala di sebelah hadapan kepala anak.
Kini, dilema yang melanda emak berkali ganda. Pengajian diploma pengurusan emak terpaksa ditunda lagi atau mungkin juga terhenti. Pinjaman pengajian yang berjumlah rm25,000 terpaksa dibayar sedangkan emak tidak dapat bekerja demi menjaga anak yang sakit.
Jiwa emak sering merintih. Apakah emak yang bersalah kerana meninggalkan anak untuk pergi bekerja? Salahkah emak yang berniat murni mencari wang untuk meringankan beban ayah? Salah emakkah anak menderita kesakitan dan kecacatan? Emakkah punca segala kesakitan, kecacatan dan kekusutan ini? Emak boleh jadi gila jika terlalu melayani semua itu. Tapi emak masih waras. Pegangan agama masih kuat di dalam diri emak. Emak tahu Qada dan Qadar.
“ Adik Hajar tidak bersalah. Niat adik baik, ikhlas dan murni. Abang sanjung sikap adik itu. Malah kesanggupan adik pergi bekerja untuk membantu suami adalah satu tindakan yang mulia. Sabarlah adik. Ada hikmahnya semua yang berlaku. Allah tahu apa yang direncanakan untuk setiap hambaNya,” hanya nasihat itu yang mampu saya suarakan.
Bermula dari situlah, anak mengalami kecacatan yang kekal. Dia tidak boleh makan makanan pejal, hanya minum susu khas dan air kosong. Itupun melalui tiub yang dipasang di hidungnya. Matanya turut kabur, tidak mampu berjalan walaupun usia sudah menjengah 2 tahun. Dan yang paling ketara, kepalanya tidak sempurna sebaliknya berlubang di bahagian hadapan kerana tidak bertempurung. Kini tiada lagi bunyi kekek tawanya bila diacah. Apa yang ada, hanyalah tangisan yang menyentuh hati dan perasaan.
Melihat anak-anak seusia berjalan dan berlari, ketawa dan menyanyi, hati emak dan ayah mula sayu dan sebak. Bilakah saatnya anak mereka pula dapat melakukan aktiviti yang serupa? Hanya doa yang mampu dipinta, moga-moga harapan akan menjadi nyata.
Atas rasa simpati dan prihatin kepada keluarga malang inilah, saya cuba mengarang untuk Mastika Idol. Mudah-mudahan mendapat tempat untuk disiarkan, dan akan ada pihak-pihak yang dapat membantu meringankan beban mereka.
Sehingga kini, tidak dapat dipastikan punca sebenar kejadian. Walaupun laporan polis telah dibuat di atas nasihat doktor, hasilnya tidak diketahui. Dan yang paling emak juga ayah merasa musykil serta hairan, mengapa pengasuh Dik Duan (nama timangan anak) tidak pernah bertanya khabar mahupun menziarahinya semasa berada di hospital ataupun di rumah? Bencikah dia kepada Dik Duan, takutkah dia menerima kenyataan?
Dalam hati emak, dalam jiwa ayah tidak pernah ada setitik pun kemarahan kepada mak Ti. Mereka reda dengan ketentuan takdir. Tapi emak dan ayah dihinggapi secubit kesalan dan terkilan, apabila mak Ti mengabaikan perasaan terhadap Dik Duan.
Oleh: ABI MASRI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment