Saturday, 25 May 2013

HANGUS


Cerpen pertama disiarkan  dalam akhbar Ming. FAMILI   20 sept. 1987

 HANGUS

Hari ini, Daman ke kedai itu lagi. Biarpun dia sudah jelak ke tempat kerja dan sudah muak ke masjid setiap hari Jumaat tetapi dia belum jemu ke kedai itu. Kedai itu dunianya. Kedai itu juga syurganya. Daman tahu, kedai itu kelak akan mengubah kehidupannya sekarang, yang melarat Dia yakin betul.
       Daman sedar, untuk menyara isteri serta  lima orang anaknya itu bukanlah semudah memelihara lima enam ekor ayam. Gajinya sebagai penoreh getah kepunyaan Tauke Liong sebanyak sepuluh ringgit sehari itu, tentu tidak dapat menyambung kehidupan keluarganya. Sementelah, tahun hadapan anak sulungnya Lan akan memasuki ke darjah satu. Ini masalah bagi Daman. Kerana itulah dia ke kedai itu. Kehidupannya yang sempit itulah telah mengajaknya menghentak kaki ke kedai itu.
       Hari  ini Daman hampa. Kecewa. Dia memaki hamun nama orang tua yang dijumpainya semalam. Dia cukup marah pada orang tua itu. Mahu dipatah-patahkan leher orang itu jika bertemu.
       “ Bang, cukuplah. Abang tak tahu ke, perbuatan abang tu bersalah di sisi agama? ” Daman diam. Dia khayal menyedut asap rokok.
       “ Bang, kalau abang tak mengubah tabiat abang tu, saya akan pulang ke rumah mak.” Daman terlopong, tercengang. Muka dan telinganya merah persis terkena tamparan yang kuat. Mah, isterinya yang selama ini pendiam, telah jauh berubah. Dulu Mah tidak banyak kata. Apa kata Daman, dia akur. Macam patung mainan lagaknya. Daman tidak pernah menduga, Mah boleh berkata sedemikian. Mah yang seketika dulu ibarat boneka, kini berani mengugutnya pula. Kedudukannya sebagai ketua keluarga, tercabar.
       “ Abang, dah puas telinga saya ini mendengar umpat keji jiran. Saya dah tak mampu mendengarnya lagi bang. Kalau abang masih dengan perangai abang tu, esok saya akan pulang! ”
      
Daman semakin tercabar. Kelantangan suara isterinya itu membakar hatinya. Tapi tangan kanannya tidak tergamak untuk menampar pipi cengkung Mah. Dia harus memelihara rumahtangganya yang telah lapan tahun dibina kukuh atas dasar suka sama suka itu. Sehingga kini dianugerahkan lima orang anak. Dua lelaki, tiga perempuan.
       “ Abang… abang dengar tak apa yang saya cakap ni, ha…? ”
       Daman diam lagi. Fikirannya berputar, berpusing ligat. Kini, dia berada di dua persimpangan. Hati isterinya perlu dijaga dan kedai itu mesti dijengahinya. Akhirnya Daman terlena dibuai masalah yang tidak diduganya itu. Puntung rokok yang telah terpadam, tergolek jatuh ke lantai beralaskan tikar mengkuang hasil tangan isterinya itu.
       Malam kian larut. Bulan yang bersembunyi di sebalik daun-daun menghulurkan cahaya suram ke perut hutan. Dalam kesuraman itu, Daman nampak seorang tua berjubah kuning memegang kemenyan yang penuh berbara. Orang tua itu duduk bersimpuh berhadapan sepohon ara sebesar dua pemeluk lelaki seperti Daman. Suasana dingin disulami nyanyian mergastua hutan. Kunang-kunang berterbangan persis cuba membantu bulan menerangkan alam yang ditelan malam.
       Kemudian Daman nampak orang tua berjubah kuning itu, menabur butir-butir kemenyan ke atas bara yang merah menyala. Asap berkepul-kepul terbang ditiup angin dingin.
       Mulut orang tua berjubah kuning itu, terkumat-kamit, entah mentera apa yang dibacanya. Selesai bermentera, orang tua berjubah kuning itu menghembuskan pula nafasnya kearah asap yang berkepul-kepul terbang ke udara..
       Tiba-tiba Daman  nampak asap yang berkepul-kepul itu berpusing-pusing. Ligat. Lima minit berlalu. Asap yang berpusing-pusing itu bertukar menjadi empat nombor.
       Daman hafal betul-betul nombor itu. Daman tidak mahu gagal kali ini. Dia mesti berjaya. Kali ini harapannya pasti menjadi kenyataan.
       Daman seakan melihat sebuah rumah batu mewah yang diidamkannya selama ini, dikelilingi pagar batu besi yang cantik. Daman megah. Daman akan digelar ‘OKB’ oleh orang kampung yang memandang hina padanya selama ini. Daman akan tayang pada Anna, anak Penghulu Hussin, yang menolak lamarannya suatu ketika dahulu. Dia akan buktikan, dia juga boleh menjadi kaya seperti Penghulu Hussin. Biar Penghulu Hussin, Anna atau musuh-musuhnya ternganga melihat dia bersandar bangga di atas kusyen baldu di dalam rumah batu mewahnya itu.
       “ Abang, abang, bangun bang dah Maghrib ni. ” Daman mengeliat, membuang lenguh dan ngantuk. Ditatapnya wajah Mah yang cengkung. Seakan mahu dimarahinya. Pun, tiada sepatah kata yang terbit dari rongga suara Daman.
       “ Anak-anak menunggu abang di tangga tu. Mereka nak abang mandikan. ”  Daman merengus, kemudian berlalu ke telaga di belakang rumah. Telaga pusaka ayahnya. Anak-anaknya Delan, Hazman, Nurul, Hajar dan Yong yang bertelanjang bulat menepuk-nepuk tangan gembira melihat kedatangan ayah mereka. Daman tersenyum dengan telatah anak-anaknya itu. Hilang sebentar dari masalah tadi.
       Malam itu, Daman tidak lelap tidur, hanya memikirkan tentang kedai itu. Esok dia mesti pergi. Tapi… tentu parah kiranya diketahui oleh isterinya. Tentu Daman bersendirian nanti.
       Daman tiba-tiba tersenyum. Matanya dengan mudah terkatup, melayan mimpi yang entah buruk entah baik itu.
       Esoknya, Daman memanggil Awang. Dihulurnya beberapa helai wang kertas berwarna biru dan hijau, yang diambilnya dari tabung isteri malam tadi. Disuruhnya Awang ke kedai itu. Awang akur dengan perintah Daman kerana Daman pakciknya. Adik ayah Awang, Pak Majid.
       Pulang dari kedai itu, Awang tidak terus ke rumah Daman. Itu perintahnya. Mungkin takut diketahui oleh isterinya Mah. Tempat pertemuan mereka ialah warung kopi Paklong Jab.
       “ Dah kau beli? ”
       “ Dah pakcik.”
       “ Mana tiketnya? ”
       “ Nah… ”
       “ Bagus Awang. Nah duit upah untuk kau. ”
       “ Terima kasih pakcik. ” Daman hanya mengangguk, mungkin terlalu gembira.
       Sesekali. Awang terfikir juga. Kenapa Daman pakciknya itu, sanggup menghabiskan wang ringgit hanya untuk membeli nombor ekor, yang konon akan mengubah nasibnya itu.
       Selama yang Awang ketahui, hanya sekali nombor yang Daman tikam naik. Itupun cuma hadiah saguhati. Sejak itu, semangat Daman untuk mencuba, menyala. Marak. Pun, selepas itu, Daman tidak pernah berjaya lagi. Sudah beratus ringgit wangnya habis ( juga wang isterinya). Dah puas masuk kubur keluar kubur kerana nombor itu. Dah jenuh bertemu orang tua yang mengaku boleh membantunya menang nombor ekor,  Anehnya, kenapa Daman tidak serik-serik?
       Alangkah baiknya kiranya wang itu ditabungkan. Tidak ada ruginya. Tapi apabila Awang syorkan padanya, Daman merengus.
       “ Ah! Kau tak akan kaya jika mengharapkan duit tabung.” jawab Daman. Mudah benar dia mengeluarkan kata-kata itu. Rupanya, Daman ingin kaya cepat. Sempit betul Daman berfikir. Bagai orang yang tidak berpelajaran lagaknya.
       Tapi memang benar. Daman hanya belajar setakat darjah tiga. Dia benci belajar. Jemu. Bosan, Itu jawapan Daman bila ibubapanya menyoal. Lalu Daman diberhentikan dari terus belajar.
       “ Awang, esok kau ke pekan tengok nombor aku tu, naik ke tidak? ”  Awang hanya mengangguk. Sememangnya tiada kata-kata yang patut Awang suarakan.
       “ Kalau naik, aku belanja kau makan. Di mana kau mahu? Restoren, hotel? ”

       Awang tersenyum mendengar pelawaan itu. Sudah lama Awang teringin makan di restoren, di hotel-hotel besar di bandar. Awang mengangguk lagi.
       Esoknya pagi-pagi Awang sudah ke pekan, ke kedai buku mamak Rahman. Awang tidak terus ke kedai nombor.
       Awang mencapai sehelai suratkhabar. Tumpuannya kini pada muka belakang akhbar itu. Hati Awang berdetap-detup. Biarpun bukan dia sendiri yang membeli nombor itu tetapi pelawaan Daman, menyebabkan hati Awang berdebar-debar ketika itu.
       Tiba-tiba, sendi anggota Awang seakan lemah. Hadapan matanya dibayangi hitam. Pun mujurlah hanya sementara. Mungkin tidak sampai dua minit. Awang bersyukur panjang.
       Setelah membayar harga suratkhabar itu, Awang bergegas pulang. Seakan terbayang diekor matanya Daman sedang menatap petak empat segi berukuran 61/2sm x 7sm di ruang belakang suratkhabar itu. .Kemudian Daman jatuh, terlepas pisau toreh yang digenggamnya.
       Pon!Pon! Hon kereta yang hampir melanggar buntut basikal Awang, memadamkan lamunannya yang hampir mengorbankan nyawanya sendiri. Pemandu kereta Volvo  itu, memaki hamun Awang. Ah! Biarlah. Yang pasti nyawaku masih selamat dan aku masih boleh bergerak di bumi Allah S.W.T ini, fikir Awang. Dia terus mengayuh.
       “ Pakcik, nah ini akhbarnya. ”
       Daman berhenti menoreh. Ditatapnya akhbar di tangan kanan Awang kemudian beralih ke wajah Awang yang selamba itu.
       “ Bagaimana? ”
       “ Kan keputusannya di akhbar ni, Haa, tengoklah.  
       Awang menghulurkan akhbar harian itu ke tangan kanan Daman. Awang nampak tangan Daman terketar-ketar membuka lipatan akhbar yang dilipat tiga. Bibir mata Daman tidak kejip-kejip lagi melihat nombor-nombor .di dalam kotak empat segi itu. Dia melihat dari bawah ke atas.
       “ Awang, betulkah seperti apa yang aku lihat ni? Betulkah Awang? ” bahu Awang dikocaknya. Awang tersenyum.
       “ Ya betul, pakcik tak bermimpi. ”
       Daman tergamam. Akhbar di tangannya melayang ke rumput kering yang diracun oleh Tauke Liong enam hari lalu. Daman jatuh terkulai di perdu getah yang belum ditorehnya itu.
       Benarlah seperti khayalan Awang tadi. Kelam kabut Awang mencari air. Mujur ada parit kecil di dalam kebun getah itu. Awang percik-percikkan air ke muka Daman. Awang goncang kepala Daman.
       “ Hai, dapat hadiah pertama sampai pengsan. ” Awang bergurau. Daman hanya tersenyum. Dia tidak terus menoreh hari itu. Daman pulang dengan gembira. Rumah batu mewah telah muncul dalam khayalannya. Gelaran ‘ OKB ’ menerjah-nerjah ingatan Daman.
       “ Mah, kau nampak seluar abang tak? ”
       “ Seluar panjang biru yang dah buruk tu? ”
       “ Ya.! ” suaranya ditekankan.
       “ Baru Mah bakar, Simpan pun buat menyemak je. Kalau abang nak pakai, pakailah seluar lain yang masih baru di dalam almari tu. ”
       Daman terkejut besar. Harapannya punah kini. Tiket-tiket nombor ekor yang tersembunyi di dalam poket seluar buruknya itu, sudah hangus. Seperti hangusnya harapan Daman untuk menjadi ‘ Orang Kaya Baru ‘ di kampung itu.

Oleh: ABI MASRI

( Jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada pengarang Mingguan Famili, saudara Muhd Nasrudin Dasuki yang menyiarkan cerpen pertama saya ini. Ketika dikirimkan, cerpen ini hanya bertulisan tangan.)


No comments:

Post a Comment